Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, Maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya, yang bersikap lemah Lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Ma'idah: 54)
Dalam ayat tersebut, Allah s.w.t. memberi amaran kepada umat Islam, supaya tidak meninggalkan ajaran agama Islam, kerana jika umat Islam meninggalkan ajaran Islam, Allah s.w.t. akan memusnahkan mereka seluruhnya dan menggantikan mereka dengan suatu kaum lain yang mana, kaum tersebut yang mana mereka dicintai dan mencintai Allah s.w.t..
Fenomena "Allah s.w.t. mencintai mereka dan mereka mencintai Allah s.w.t." tersebut hakikatnya adalah anugerah yang tidak terhingga dalam umat Islam, yang membina umat dengan landasan ajaran Al-Qur'an dan As-Sunnah. Namun, jika umat Islam tidak menghargai nikmat tersebut, maka Allah s.w.t. yang tidak pernah memerlukan sesiapa, hanya kerana ingin membuktikan keagunganNya, maka Dia akan menggantikan umat yang meninggalkan agamaNya dengan suatu kaum yang mendapat anugerah "dicintai dan mencintai Allah s.w.t." tersebut.
Cinta Allah s.w.t. Kepada Hamba-hambaNya
Para ulama' berselisih pendapat tentang perbahasan cinta Allah s.w.t. ini. Adapun para ulama' Al-Asya'irah mengembalikan sifat ini kepada sifat iradah Allah s.w.t., di mana, menurut mereka, sifat cinta di sisi Allah s.w.t. adalah suatu sifat cabang yang termasuk dalam sifat iradah Allah s.w.t., iaitu ingin memberi kebaikan kepada para hambaNya. Mereka menegaskan bahawa, sifat cinta itu sendiri, walaupun daripada sifat iradah (kehendak) Allah s.w.t., namun ianya khusus bagi kehendak akan kebaikan kepada para hambaNya.
Sebahagian para ulama' juga mengaitkan cinta Allah s.w.t. kepada makhluk sebagai sifat af'al (sifat perbuatan Allah s.w.t.) yang lahir daripada sifat iradah Allah s.w.t., dengan maksud, cinta Allah s.w.t. kepada makhluk adalah memberi kebaikan kepada para hambaNya.
Adapun para sufi menetapkan sifat cinta bagi Allah s.w.t., sebagai suatu sifat yang berbeza hakikatnya dengan sifat iradah, dalam masa yang sama, bersepakat dengan prinsip asas para ulama' Al-Asya'irah bahawa, sifat-sifat Allah s.w.t. itu qadim. Bagi kaum sufi, mereka secara zauqi dapat mengenal perbezaan antara sifat iradah dan sifat hubb (cinta) Allah s.w.t., melalui athar (kesan) sifat-sifat tersebut dalam pengalaman kerohanian mereka.
Menurut mereka, sifat cinta, redha dan sebagainya, jika dinisbahkan kepada Allah s.w.t, maka ia suatu yang hakiki, dan tersendiri, dalam masa yang sama, sifat-sifat tersebut bersifat qadim, yang saling berkait rapat dengan sifat ilmu Allah s.w.t., seperti sifat iradah (kehendak) Allah s.w.t. juga.
Apapun ta'rif dan kefahaman yang cuba diberikan oleh para ulama', apa yang pasti, hakikat cinta Allah s.w.t. kepada para hambaNya tidak sama seperti hakikat cinta makhluk kepadaNya, bahkan, tiada yang mengetahui hakikat cintaNya selain daripadaNya.
Hal ini dijelaskan oleh para penghulu sufi sendiri, dengan ungkapan mereka, "adalah benar-benar suatu keajaiban, apabila makin tersingkap (mengenali hakikat-hakikatNya melalui syuhud) makin tersembunyi (hakikat Allah s.w.t. yang selebihnya yang tiada penghujung bagi hakikatNya)."
Maksudnya, seseorang itu, apabila makin kenal Allah s.w.t., maka dia akan merasakan bahawa, dia semakin tidak mengenali Allah s.w.t. kerana proses pengenalan daripada Allah s.w.t. itu tidak terhenti, kerana tiada batasan bagi hakikat Allah s.w.t., begitu juga tiada batasan bagi sesi pengenalan daripadaNya, bagi orang-orang yang mahu mengenaliNya.
Cinta Hamba Allah kepada Allah s.w.t..
Seseorang hanya dikatakan mencintai Allah s.w.t., dengan sebenar-benar cinta adalah, apabila seseorang mencintaiNya, tanpa sebarang kepentingan untuk dirinya sendiri. Dia seraya mencintai Allah s.w.t. hanya kerana rasa syukur kepada Allah s.w.t., atas sekalian nikmat dan anugerah yang dikurniakan kepadanya, ataupun kerana ingin menghargai cinta Allah s.w.t. kepadanya.
Faktor pendorong bagi menyemai rasa cinta seseorang hamba kepada Allah s.w.t. adalah, dengan melihat tanda-tanda kecintaan Allah s.w.t. kepada dirinya, ataupun melihat sekalian nikmat dan anugerahNya dalam kehidupannya, untuk seterusnya menghargaiNya dengan mencintaiNya.
Manusia gagal melihat tanda-tanda kecintaan Allah s.w.t. dalam diri dan kehidupannya, kerana dia terhijab daripada hakikat sesuatu lalu tenggelam dalam lautan Al-Aghyar (segala sesuatu selain Allah s.w.t.). Hatinya sentiasa bergantung kepada makhluk-makhluk, kerana merasakan bahawa, para makhluk tersebutlah yang dapat membantu dan memperbaiki urusan kehidupannya.
Sebuah unsur fitrah dalam diri manusia adalah, rasa memerlukan kepada selainnya. Bahkan, unsur kehambaan dalam diri seluruh makhluk yang wujud ini, adalah, rasa memerlukan kepada suatu tempat pergantungan.
Firman Allah s.w.t.:
Dan Allah-lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang sentiasa memerlukan (kepada-Nya); (Surah Muhammad: 38)
Oleh yang demikian, apabila seseorang terhijab dengan makhluk yang saling berinteraksi dengannya di sekelilingnya, maka dia akan melupai Allah s.w.t., yang wujud di sebalik kehidupanNya, yang pada hakikatnya, Dialah Maha Pentadbir seluruh kehidupannya dan seluruh alam ini. Dia terlalai daripada menyedari hakikat bahawa hanya Allah s.w.t.-lah yang selama ini menguruskan kehidupannya, yang membantunya, yang memberi anugerah kehidupan dan nikmat kepadanya dan sebagainya, dek kerana lemas dengan muamalah dengan para makhlukNya yang pada hakikatnya hanyalah suatu tanda bagi muamalahNya kepadanya.
Allah s.w.t. mengetahui hakikat fitrah manusia yang serba memerlukan kepada selainNya, namun sentiasa menegaskan bahawa, satu-satunya tempat pergantungan dan tempat menyandarkan harapan dalam kehidupan hanyalah kepada ALLAH s.w.t.. Hanya kepadaNyalah, seluruh manusia bahkan seluruh makhluk perlu menyandarkan harapan. Ini kerana, hanya Allah s.w.t.-lah, yang manusia dan seluruh makhluk perlukan, untuk kebaikan dunia dan akhiratnya.
Firman Allah s.w.t.:
Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah dialah yang Maha Kaya (Tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji. (Surah Fatir: 15)
Hidup ini, dengan segala ujian dan anugerah yang terkandung di dalamnya, hanyalah semata-mata untuk menjadikan sebab agar kita menzahirkan rasa lemah dan tidak berdaya kita di hadapan Allah s.w.t. (yang disebut dengan iftiqor), lalu merasakan diiri kita hanya memerlukan Allah s.w.t. dalam kehidupan.
Tanda seseorang itu telah merasakan kefaqirannya kepada Allah s.w.t. (memerlukan hanya Allah s.w.t.) adalah, dia akan sentiasa menjaga rasa kefaqirannya kepada Allah s.w.t.. Dia tidak akan mencari selain Allah s.w.t. sebagai tempat pergantungan. Dia tidak akan mencari selain Allah s.w.t. untuk menjadi tempat sandaran harapannya.
Inilah yang dimaksudkan oleh Imam Yahya bin Mu'az Ar-Razi: "Tanda kefaqiran seseorang (di hadapan Allah s.w.t.) adalah, dia takut kehilangan kefaqirannya (di hadapan Allah s.w.t.." (Ar-Risalah Al-Qusyairiyah: 211)
Maksudnya, seseorang yang merasakan diri hanya memerlukan Allah s.w.t., akan berasa takut untuk mengharap kepada selain Allah s.w.t..
Daripada rasa memerlukan hanya Allah s.w.t., inilah, akhirnya seseorang akan mula menyaksikan bahawa, segala yang berlaku di sekelilingnya hanyalah daripada Allah s.w.t.. Ini suatu rasa muroqobah yang tersemat dalam diri seseorang manusia, yang amat digalakkan oleh Rasulullah s.a.w..
Seseorang yang berjaya keluar dari kepompong "merasakan makhluk-makhluk yang berperanan dalam kehidupannya" menuju kepada hakikat "merasakan hanya Allah s.w.t. yang berperanan dalam kehidupannya", akan mula menghayati hakikat-hakikat dirinya yang sentiasa memerlukan hanya Allah s.w.t. dan menghayati semua yang berlaku dalam kehidupan ini hanyalah merupakan perbuatan-perbuatan Allah s.w.t. ke atasnya (hakikat kehidupan).
Penyaksian: Seluruh Perkara yang Berlaku Adalah Dari Allah s.w.t.
Seseorang yang telah menetapkan perasaan bahawa, dia hanya memerlukan Allah s.w.t. dalam segenap kehidupannya, akan mula memahami bahawa, seluruh makhluk di sekelingnya tidak pernah berperanan secara tersendiri, untuk memberi manfaat atau kemudaratan kepadanya. Dia akhirnya menghayati apa yang dimaksudkan oleh Saidina Rasulullah s.a.w. bahawa: "Jika Allah s.w.t. kehendaki, maka sesuatu itu pasti akan berlaku, dan jika Allah s.w.t. tidak kehendaki, maka pasti tidak akan berlaku".
Apabila menyedari hakikat itu, dia seterusnya akan menyedari bahawa, apa yang menyenangkan dirinya dan apa yang menyedihkan dirinya, bahkan semuanya, dari Allah s.w.t..
Pada ketika itu, apabila dia diberi kesenangan oleh Allah s.w.t., dia akan mensyukuriNya dan pada setiap anugerah Allah s.w.t. yang diberikan kepadanya, yang menyenangkannya itulah, dia mula melihat cinta Allah s.w.t. kepadanya.
Namun, bagaimana dia mampu melihat kesusahan yang menimpanya sebagai tanda kecintaan Allah s.w.t. juga?
Hakikat Di Sebalik Susah dan Senang
Hendaklah seseorag itu mengetahui bahawa, pada peringkat ini, manusia tersebut mula semakin memahami mu'amalah Allah s.w.t. dalam kehidupannya, terutamanya dia mula melihat, hanya Allah s.w.t. yang berperanan dalam setiap urusan kehidupannya. Namun, manusia yang masih terhijab dengan kejahilan dirinya, akan menilai kehidupan itu sendiri dengan akalnya yang disaluti kejahilan tentang hakikat sesuatu.
Di samping dia menyedari semua perkara yang berlaku dalam hidupnya, ditadbir oleh Allah s.w.t., sehingga dia tidak lagi bergantung kepada makhluk, namun pada peringkat ini, dia masih terhijab dengan ketergantungan kepada akalnya sendiri, dalam menilai sesebuah kehidupan.
Oleh yang demikian, apa yang disenanginya, maka ianya suatu kebaikan bagi akalnya, sedangkan apa yang tidak disenanginya, maka ianya syatu keburukan bagi akalnya. "Apa yang menyenangkan dan apa yang tidak menyenangkan ini", nafsulah yang berperanan utama dalam menentukannya, di samping akal.
Apabila diberi kesenangan hidup, harta, kemewahan, dan apa sahaja yang disenangi oleh nafsu, maka timbul kenyataan dalam akalnya bahawa, itulah kebaikan baginya. Apabila diberi kesusahan hidup, kekurangan harta, dan apa sahaja yang tidak disenangi oleh nafsu, atau yang menyakitkan anggota tubuhnya, maka timbul kenyataan dalam akalnya bahawa, itulah keburukan baginya.
Inilah suatu contoh di mana manusia masih terbelenggu dengan persepsi-persepsi hukum yang digariskan oleh akal manusia yang terhad, sehingga terlupa bahawa, hakikat-hakikat di sebalik setiap ketentuanNya, hanya tersembunyi dalam hikmah dan kebijaksanaanNya.
Apa yang jelas, manusia yang bergantung semata-mata dengan persepsi akal yang mengikut sekadar ukuran kesenangan atau kesusahan diri dan nafsu, pasti akan bergantung kepada persepsinya dalam menilai sesuatu kehidupan. Padahal, hakikatnya, bukan semua yang disenangi oleh dirinya itu, baik untuknya, dan bukan semua yang tidak disenangi oleh dirinya itu, buruk baginya.
Hakikat inilah yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. dalam firmanNya:
boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui. (Surah Al-Baqarah: 216)
Allah s.w.t. sendiri mengingatkan bahawasanya, boleh jadi apa yang dibenci oleh seseorang, pada hakikatnya, itulah sangat baik baginya, dan boleh jadi juga, apa yang disukai oleh seseorang, pada hakikatnya, itulah yang sangat buruk untuknya. Seraya itulah Allah s.w.t. menjelaskan tentang hakikat ilmuNya, dengan berfirman: "Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahuinya".
Maksudnya, Allah s.w.t.-lah yang lebih tahu, yang mana yang baik untuk kamu dan yang mana yang buruk untuk kamu, berbanding dengan dirimu sendiri. Oleh yang demikian, Allah s.w.t. mengajak manusia agar bangkit dari lamunan persepsi mereka terhadap kehidupan, dengan kembali bergantung kepada ilmu Allah s.w.t. dalam menguruskan kehidupannya, kerana hanya Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui, sedangkan manusia tidak mengetahui sesuatupun, tanpa ilmu daripadaNya.
Tanda seseorang mula bergantung kepada Allah s.w.t., dan mula yakin dengan kebijaksanaan Allah s.w.t. dalam mentadbir segala urusan alam ini adalah, dia redha dengan setiap ketentuan Allah s.w.t. dalam kehidupannya, samada susah mahupun senang bagi dirinya.
Namun, untuk melatih diri agar dapat redha kepada Allah s.w.t. dalam setiap hal, maka hendaklah dia melatih diri agar dapat sabar dengan ketentuan Allah s.w.t. yang sukar untuk dihadapinya dan syukur dengan ketentuan Allah s.w.t. yang menyenangkannya.
Sememangnya, dengan segenap nikmat dan anugerah, seseorang hamba mampu untuk menghayati tanda cinta Allah s.w.t. kepadanya lalu mensyukuriNya dan berusaha untuk mencintaiNya.
Hal ini berdasarkan hadith Nabi s.a.w.:
" أحبوا الله لما يغذوكم به من نعمه وأحبوني لحب الله إياي"
Cintailah Allah s.w.t. kerana Dia telah mengurniakanmu akan nikmatNya. Cintailah daku (Rasulullah s.a.w.) kerana cinta Allah s.w.t. kepadaku
(hadith riwayat At-Tirmizi)
Adapun berkaitan dengan musibah, maka seseorang perlu menghayati tanda cinta Allah s.w.t. melalui kaedah sabar terhadap ketentuanNya. Seseorang mampu sabar dengan musibah dan kesusahan yang menimpanya apabila dia menghayati bahawa, segala kesulitan dan musibah hanyalah sebagai ujian daripada Allah s.w.t., dan ujian daripada Allah s.w.t. itu sendiri sebenarnya merupakan tanda kecintaanNya kepada para hambaNya. Hal ini jelas dalam hadith di mana Rasulullah s.a.w. bersabda bahawasanya: "Jika Allah s.w.t. mencintai seseorang, maka dia akan mengujinya". Jadi, kesusahan itu adalah ujian dari Allah s.w.t. dan ujian itu adalah tanda kecintaan dari Allah s.w.t. kepada para hambaNya.
Tersebut dalam sebuah hadith:
ويروى أن رجلاً قال: يا رسول الله إني أحبك، فقال " استعد للفقر " فقال: إني أحب الله تعالى، فقال: " استعد للبلاء
Diriwayatkan bahawasanya, seorang lelaki berkata kepada Rasulullah s.a.w.: "Wahai Rasulullah, saya mencintaimu. Rasulullah s.a.w. menjawab: "Kalau begitu, bersedialah untuk menghadapi kefaqiran". Orang tersebut lalu berkata: "Saya juga mencintai Allah s.w.t.". Rasulullah s.a.w. bersabda juga kepada beliau: "Kalau begitu, bersedialah untuk menghadapi bala (ujian)". (Hadith riwayat At-Tirimizi)
Bahkan, kesenangan juga merupakan ujian daripada Allah s.w.t. kepada para hambaNya, tetapi dalam bentuk sifat-sifat jamal (kecantikan) Allah s.w.t., yang penuh kelembutan, sedangkan dalam kesusahan pula, ianya merupakan ujian daripada Allah s.w.t., tetapi dalam bentuk menzahirkan sifat-sifat jalal (keagungan)-Nya.
Namun, ujian dalam bentuk kesenangan itu lebih besar daripada ujian dalam bentuk kesusahan, kerana kesenangan lebih membuatkan seseorang mudah lupa kepada Allah s.w.t. berbanding kesusahan. Maka, hakikatnya, seluruh yang berlaku dalam kehidupan kita adalah anugerah daripada Allah s.w.t., kerana ujian Allah s.w.t. merupakan tanda cintaNya, dan tanda cintaNya merupakan anugerahNya, yang tidak dihayati oleh mereka yang tidak dibukakan Allah s.w.t. akan mata hati mereka.
Baik Sangka Kepada Allah Dalam Setiap KetentuanNya
Apabila seseorang mulai memahami hakikat ini, maka amat penting baginya, dalam setiap ketentuan dalam hidupnya adalah, untuk berbaik sangka kepada Allah s.w.t., terutamanya ketika dia berada dalam kesusahan. Hendaklah dia sentiasa yakin bahawa, Allah s.w.t. tidak pernah mensia-siakannya, malah, kesusahan tersebut hanyalah ujian dari Allah s.w.t., yang lahir kerana kecintaan Allah s.w.t. kepadaNya.
Dengan sikap berbaik sangka kepada Allah s.w.t. inilah, seseorang akan dapat bersabar dalam menghadapi kesusahan dan bersyukur ketika mendapat kesenangan, sehingga akhirnya membawa kepada sifat redha terhadap setiap ketentuan Allah s.w.t.. Pada tahap ini, seseorang yang meredhai setiap ketentuanNya, tidak lagi membezakan antara kesenangan mahupun kesusahan, kerana dia sudah redha dengan Allah s.w.t. dalam setiap ketentuanNya, dan dia juga yakin dengan hikmah dan kebijaksanaan Allah s.w.t. dalam mentadbir urusan kehidupannya. Dia sudah merealisasikan penghayatan daripada surah Al-Baqarah ayat 216 tersebut.
Redha Dengan Ketentuan Allah s.w.t.: Pintu MencintaiNya
Apabila seseorang sudahpun meredhai Allah s.w.t., maka dia akan mula merasakan kelazatan iman, seperti yang disebut dalam hadith, bahawasanya: "Seseorang akan merasai kelazatan iman, jika dia redha Allah s.w.t. sebagai Tuhannya…" (hadith sahih).
Seseorang yang redha bahawa Allah s.w.t. sebagai Tuhannya bererti, dia redha setiap ketentuan dan ketetapanNya dalam segenap kehidupannya. Dia redha dengan setiap ketetapan hukum syariat ke atasnya, lalu melaksanakan syariat tanpa rasa terbeban dengan syariat tersebut. Dia juga redha dengan sebarang ketentuan Allah s.w.t. dalam hidupnya, samada susah mahupun senang, kerana dia sudah lagi tidak dapat membezakan antara susah dan senang, kerana sibuk menyaksikan cinta Allah s.w.t. kepadanya di sebalik setiap ketentuanNya.
Daripada sikap redha dengan ketentuan Allah s.w.t. inilah seseorang mula disemai oleh Allah s.w.t., dengan benih-benih kecintaan kepadaNya, sesuai dengan izin dan kehendakNya. Allah s.w.t. menyingkap hakikat-hakikat kehidupannya, sehingga dia mampu faham hikmah-hikmah Allah s.w.t. di sebalik setiap ketentuanNya atas dirinya dalam kehidupannya.
Pada ketika itu, daripada kefahaman terhadap hikmah-hikmah inilah, membawa seseorang kepada mencintai Allah s.w.t. kerana sifat-sifatNya yang Maha Agung lagi Maha Mulia, terutamanya dalam muamalahNya kepadanya.
Pada peringkat ini, seseorang mula menumpukan seluruh kehidupannya untuk mencari hanya keredhaan Allah s.w.t.. Dia mula berusaha mengemis kasih sayang Allah s.w.t. kerana merasakan dirinya serba kerdil, hina dan tidak layak untuk dicintai oleh Allah s.w.t.. Dalam pada mengemis cinta Allah s.w.t. ini, Allah s.w.t. akan terus memperkenalkannya akan hakikat-hakikatNya melalui sifat-sifatNya yang Maha Agung sehingga hamba tersebut berasa semakin malu dan gerun terhadap Allah s.w.t..
Cinta dalam Cinta
Dalam penyaksian akan keesaan Allah s.w.t., seseorang yang terus melakukan ketaatan dalam usaha meraih redha dan cintaNya, maka Allah s.w.t. menyuburkan pohon cintanya kepadaNya yang subur merendang di taman hatinya. Buah-buah makrifat (mengenal Allah s.w.t.) tumbuh ranum di ranting-ranting kerinduan hamba tersebut kepada Allah s.w.t., sehingga cintanya kepada Allah s.w.t. adalah kerana kesempurnaan zat Allah s.w.t., keagungan sifatNya, kesucianNya, ketulusan cintaNya dan kerana keagunganNya semata-mata.
Pada ketika inilah, cintanya kepada Allah s.w.t. merupakan cinta yang teragung dalam dirinya, melebihi cintanya kepada selainNya, bahkan tiada selainNya yang dia cintai, melainkan hanya keranaNya.
Allah s.w.t. berfirman:
Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahwa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahwa Allah amat berat siksaan-Nya (niscaya mereka menyesal). (Surah Al-Baqarah: 165)
Bahkan, Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم "ثلاث من ُ كن فيه وجد حلاوة الإيمان : أن يكون الله ورسوله أحب إليه مما سواه ما. وأن يحب المرء لا يحبه إلا لله . وأن يكره أن يعود في الكفر - بعد إذ أنقذه الله منه - كما يكره أن يلقى في النار"
Maksudnya: "Tiga perkara, jika seseorang memilikinya, maka dia akan mengecapi kelazatan iman. Pertama, dia mencintai Allah s.w.t. dan RasulNya melebihi selain daripada keduanya. Kedua, dia tidak mencintai seseorang melainkan kerana Allah s.w.t.. Ketiga, dia benci untuk kembali kepada kekufuran (setelah Allah s.w.t. selamatkannya daripada kekufuran tersebut), sebagaimana dia benci untuk dilempar ke dalam api neraka" (Hadith Sahih riwayat Al-Bukhari)
Saidatina Rabi'atul Adawiyah r.a. berkata dalam mengungkapkan cintanya kepada Allah s.w.t.:
أحبك حبين حب الهوى وحبًا لأنك أهل لذاكا
فأما الذي هو حب الهوى فشغلي بذكرك عمن سواكا
وأما الذي أنت أهل له فكشفك لي الحجب حتى أراكا
فلا الحمد في ذا ولا ذاك لي ولكن لك الحمد في ذا وذاكا
Aku mencintaiMu dengan dua cinta iaitu cinta kerana keinginan
Dan cinta kerana Engkau layak untuk dicintai
Adapun yang merupakan cinta kerana keinginan,
Maka kesibukanku dengan mengingatiMu daripada mengingati selainMu.
Adapun cinta kerana Engkaulah yan layak untuknya,
Maka Engkau menyingkap untukku tabir sehingga aku melihatMu.
Tiada pujian dalam kecintaan ini mahupun kecintaan itu bagiku,
Tetapi hanyalah bagimu segala pujian pada kedua-dua cinta itu.
Ini adalah suatu tahap cinta kerana zat Allah s.w.t. itu sendiri, tanpa sebarang kemaslahatan dan kepentingan diri. Inilah setulus-tulus cinta, iaitu sebuah cerminan daripada cinta Allah s.w.t. kepada para hambaNya.
Nilai cinta inilah seperti yang disebutkan oleh Imam Yahya bin Muaz r.a.: "Hakikat cinta itu adalah, bahawasanya ia tidak bertambah dengan sebarang kebaikan, dan tidak berkurangan dengan sebarang kejelikan". ( Al-Luma': 279)
Inilah yang dikatakan oleh para pencinta, cinta itu membutakan. Segalanya sempurna di mata sang pencinta. Dia juga tidak merasa terbeban dengan syariat, lalu melakukan ketaatan dengan penuh rasa kecintaan kepada Allah s.w.t.. Ibadah bukan lagi suatu bebanan, tetapi suatu anugerah cinta dari Allah s.w.t. kepadanya.
Saidina Yahya bin Mu'az r.a. berkata:
مثقال خردلة من الحب أحب إلي من عبادة سبعين سنة بلا حب.
Maksudnya: Sebesar biji sawi daripada cinta lebih aku sukai daripada ibadah tujuh puluh tahun tanpa cinta (kepada Allah s.w.t.)
Pada ketika itu, dia mula menghayati bahawa, cintanya kepada Allah s.w.t. pada hakikatnya merupakan natijah daripada cintaNya kepadanya sejak azali, kerana sifat Allah s.w.t. itu qadim. Oleh yang demikian, dia dapat mencintai Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t. terlebih dahulu mencintaiNya sejak azali, lalu terbit rasa syukur di hatinya, kepada Tuhan Sang Pencinta, yang tidak terungkap dengan kata-kata, di atas nikmat dapat mencintaiNya dengan setulusnya.
Ciri-ciri Hamba Allah yang DicintaiNya Berdasarkan Ayat Ini
Pertama: Bersikap Lemah Lembut kepada Sesama Muslim
Ini merupakan suatu sifat yang amat mulia, iaitu berakhlak mulia, lemah lembut dan bersifat rendah diri kepada sesama muslim. Bahkan, orang muslim dengan orang muslim yang lain pada hakikatnya bersaudara dalam persaudaraan Islam.
Hal ini seperti yang disebutkan di dalam sebuah hadith:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : « الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ ؛ لا يَظْلِمُهُ ، وَلا يَخْذُلُهُ ، وَلا يَحْقِرُهُ »
Maksudnya: Dari Abi Hurairah r.a., beliau berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Seseorang muslim itu, saudara bagi muslim yang lain. Maka, janganlah dia menzaliminya (muslim yang lain,), mencelanya, merendah-rendahkannya…" (Hadith riwayat Imam Muslim)
Bahkan, Rasulullah s.a.w. juga sering mengingatkan agar seseorang muslim itu menjaga perasaan dan kebajikan sesama muslim yang lain, di mana, dia tidak menyakiti mereka mahupun menzalimi mereka. Bahkan, Rasulullah s.a.w. turut mencela seorang muslim yang menyusahkan dan menyakiti para muslim yang lain sehingga orang-orang muslim yang lain menjauhinya, seperti dalam hadith riwayat Saidatina Aisyah r.a.:
إِنَّ شَرَّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ تَرَكَهُ النَّاسُ اتِّقَاءَ شَرِّهِ
Sesungguhnya, seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada hari Kiamat kelak adalah, orang yang mana, manusia lain meninggalkannya (menjauhinya) kerana ingin berwaspada daripada kejahatannya (Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)
Bahkan, antara sikap yang tercela dalam institusi persaudaraan Islam adalah, apabila seseorang muslim mengkafirkan saudaranya yang muslim, hanya semata-mata kerana mengikut buruk sangkanya terhadap muslim yang lain tersebut. Fenomena mengkafirkan atau menuduh syirik sesama muslimin sewenang-wenangnya ini suatu yang amat ditegah oleh Rasulullah s.a.w.. Sebahagian kelompok yang terjebak dengan budaya takfir ini, dengan pra-sangka mereka semata-mata terhadap sesama muslimin, adalah suatu yang mencemarkan institusi persaudaraan Islam itu sendiri.
Rasulullah s.a.w. memberi ancaman terhadap takfir ini:
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَاْ يَقُولُ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : « إِذا قَالَ الرَّجُلُ لأَخِيهِ : (يَا كَافِرُ) فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا ؛ إِنْ كَانَ كَمَا قَالَ وَإِلا رَجَعَتْ عَلَيْهِ »
Dari Ibn Umar r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jika seseorang berkata kepada saudaranya (sesama muslim): wahai kafir, maka telah jatuhlah hukum kufur tersebut kepada salah seorang daripada keduanya. Jika orang yang dituduh kafir tersebut memang kafir, maka tidak mengapa. Adapun jika dia tidak kafir (di sisi Allah s.w.t.), maka tuduhan kafir itu kembali kepadanya (yang menuduh kafir tersebut)" (Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)
Maka, seseorang yang dicintai dan mencintai Allah s.w.t. akan sentiasa menjaga ukhuwwah islamiyah sesama muslim, dengan menjaga kehormatan dan kemuliaan mereka, tidak menghina mereka, tidak mencela mereka, tidak memfitnah mereka, tidak menzalimi mereka, tidak menuduh syirik sewenang-wenangnya ke atas mereka, tidak mengkafirkan mereka sewenang-wenangnya, hanya kerana buruk sangka dan sebagainya. Inilah tanda pertama seseorang itu dicintai dan mencintai Allah s.w.t..
Kedua: Bersikap Keras Terhadap Orang-orang Kafir
Maksud di sini adalah, orang Islam yang dicintai oleh Allah s.w.t. dan mencintai Allah s.w.t. akan bersikap tegas dengan orang-orang kafir, dalam mempertahankan prinsip dan maruah Islam, dalam masa yang sama, bersikap toleransi dalam melibatkan hal kebebasan mengamalkan agama masing-masing.
Namun, dalam ayat ini, Allah s.w.t. menekankan kepentingan bersikap tegas dalam mempertahankan maruah dan prinsip Islam, dalam rangka untuk membina kekuatan umat Islam dalam menghadapi permusuhan yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam.
Ketiga: Berjihad di jalan Allah s.w.t..
Jihad itu ada dua iaitu: Jihad melawan musuh-musuh Islam dan jihad melawan hawa nafsu.
Nabi s.a.w. sentiasa mengingatkan bahawasanya, jihad melawan hawa nafsu itu lebih berat daripada jihad melawan musuh. Hal ini kerana, belum tentu semua orang yang sanggup berjihad melawan musuh Islam, mampu melawan hawa nafsu, kerana dalam hadith sendiri menceritakan betapa ada di zaman Nabi s.a.w., seseorang yang zahirnya mati syahid kerana mempertahankan Islam, tetapi Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa dia akan masuk neraka. Ada yang mati dalam peperangan namun tidak diterima pengorbanan mereka oleh Allah s.w.t. kerana mereka berjuang untuk dikenal sebagai seorang yang berani, atau mereka berjuang untuk keuntungan peribadi dan sebagainya.
Masalah mereka sebenarnya adalah pada hawa nafsu mereka, di mana mereka tidak terlebih dahulu mengutamakan mujahadah (melawan) hawa nafsu mereka, daripada sifat-sifat mazmumah (tercela) seperti sifat ujub, riya', takabbur dan sebagainya.
Keempat: Tidak Takut Celaan Orang yang Mencela
Antara suatu sifat yang menggambarkan bahawa seseorang itu adalah kekasih Allah s.w.t. adalah, apabila dia dicela, dia tidak terasa dengan celaan tersebut, bahkan apabila dia dipuji, dia tidak terasa bangga dengan pujian tersebut. Bahkan, dia terus menegakkan kebenaran, tanpa takut celaan orang. Ini kerana, matlamatnya dari segala amalannya hanyalah redha Allah s.w.t., bukan redha para makhluk.
Mengapa kita perlu takut celaan manusia dalam memperjuangkan kebenaran, sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri, yang merupakan manusia yang paling mulia, pernah dicela dalam usaha dakwah Baginda s.a.w.? Seseorang tidak akan pernah mampu untuk mendapat keredhaan seluruh manusia, apatah lagi dalam memperjuangkan kebenaran Islam, kerana pasti ada dalam kalangan mereka yang mempertuhankan nafsu dan kejahilan, akan memusuhinya dalam usaha dakwahnya.
Faktor-faktor Pendorong Kepada Cinta Kepada Allah s.w.t.
Dr. Umar Abdullah Kamil menjelaskan beberapa faktor pendorong kepada cinta Allah s.w.t. iaitu (toriqul masakin ila rabbil alamin pada bab mahabbah):
Pertama: Membaca Al-Qur'an dengan penuh penelitian dan memahami makna-maknanya.
Kedua: Sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. dengan amalan-amalan sunat. Sesungguhnya, ia akan membawa kepada darjat dicintai setelah merasai perasaan cinta.
Ketiga: Sentiasa berzikir (mengingati) Allah s.w.t. pada setiap hal, dengan lidah, hati, amalan dan dengan hal. Bahagian seseorang daripada kecintaan adalah mengikut kadar bahagian zikir tersebut.
Keempat: Mengutamakan yang disukai oleh Allah s.w.t. daripada apa yang disukai oleh diri kamu sendiri, sehingga dapat mengalahkan hawa nafsumu.
Kelima: Hati sentiasa meneliti nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t., menyaksikannya (menghayatinya), mengetahui makna-maknanya, dan kemudian menghayati pengetahuan mengenai nama-namaNya tersebut. Sesiapa yang mengenal Allah s.w.t. dengan nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatanNya, maka dia pasti akan mengasihiNya.
Keenam: Menyaksikan kebaikan dan ihsanNya, menyaksikan nikmat-nikmat kurniaanNya, samada nikmat batin mahupun batin, kerana ia akan membawa kepada kecintaan kepadaNya.
Ketujuh: Sesiapa yang kagum dengan Allah s.w.t., akan merasa kerdil di hadapan Allah s.w.t.. Tiada yang dapat membawa kepada penghayatan ini selain daripada melalui nama-namaNya dan ibarat-ibarat.
Kelapan: Bersunyi-sunyian dengan Allah s.w.t. pada waktu turunnya rahmat Allah s.w.t. (sepertiga akhir malam) untuk bermunajat kepadaNya, membaca kalamNya, menumpukan hati hanya kepadaNya, beradab dengan adab kehambaan di hadapanNya. Kemudian menutup munajatnya dengan istighfar dan taubat.
Kesembilan: Sentiasa bersama dengan orang yang mencintai Allah s.w.t., mengambil manfaat daripada perkataan-perkataannya, sepertimana dia menikmati kelazatan buah-buahan. Dia tidak bercakap dalam majlis tersebut kecuali jika ada maslahat, atau dengan bercakap tersebut dapat memperbaiki hal kamu dan memberi manfaat kepada orang lain.
Kesepuluh: Menjauhkan diri daripada sebab-sebab yang memisahkan hatinya daripada Allah s.w.t..
Antara Orang-orang Yang Dicintai Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t.:
Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berbuat baik. (Surah Al-Baqarah: 195)
Firman Allah s.w.t. lagi:
Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang mensucikan diri. (Surah Al-Baqarah: 222)
Firman Allah s.w.t. lagi:
Sebenarnya siapa yang menepati janji (yang dibuat)nya dan bertakwa, Maka Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertakwa. (Surah Ali Imran: 76)
Firman Allah s.w.t. lagi:
Allah mencintai orang-orang yang sabar. (Surah Ali Imran: 146)
Firman Allah s.w.t.:
Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah Lembut terhadap mereka. sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu Telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. (Surah Ali Imran: 159)
Firman Allah s.w.t. lagi:
Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram. jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta putusan), Maka putuskanlah (perkara itu) diantara mereka, atau berpalinglah dari mereka; jika kamu berpaling dari mereka Maka mereka tidak akan memberi mudharat kepadamu sedikitpun. dan jika kamu memutuskan perkara mereka, Maka putuskanlah (perkara itu) diantara mereka dengan adil, Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang adil (Surah Al-Maidah: 42)
Penutup
Seseorang hamba yang tahu nilai kehidupannya, pasti akan mencari sebuah ikatan abadi dalam memenuhi makna kehidupannya. Sesuatu kehidupan itu suram tanpa suluhan cahaya cintaNya. Seseorang yang menyedari hakikat ini, dan bijak dalam menggunakan akal fikiran kurniaan Ilahi, pasti akan berusaha untuk meraih cinta abadi daripada Tuhan yang Maha Pencinta lagi Maha Terpuji.
Inilah nilai kehambaan sejati. Seseorang hamba itu, nilainya di sisi Allah s.w.t. pada nilai kecintaanNya kepadanya dalam kecintaannya kepadaNya. Hakikat cinta itu suatu anugerah untuk saling merasai nikmat cinta itu sendiri. Hanya dengan kurniaan daripada Allah s.w.t.-lah, maka seseorang itu dapat menikmati cinta. Adalah menjadi anugerah yang paling agung, apabila seseorang dapat menikmati cinta kepadaNya. Bahkan, lebih agung dari itu lagi, apabila seseorang mula menikmati cintaNya kepadanya.
Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan cintaNya kepada kita dan menganugerahkan dari cintaNya, akan cinta kita kepadaNya, sehingga seterusnya menjadi kebahagiaan abadi bagi kita, apabila dapat mencintai secara hakiki dan abadi, akan Allah s.w.t. yang Maha Hak lagi Maha Kekal Abadi. Amin…
Wallahu a'lam
0 comments: